News Coverage

Ramunia sasar kontrak RM2.25b
Syarikat naik taraf infrastruktur lapangan fabrikasi
Berita Harian
27 April 2007

RAMUNIA Holdings Bhd, yang terbabit dalam fabrikasi struktur untuk industri minyak dan gas, mensasar meraih kontrak bernilai RM2.25 bilion tahun ini, iaitu kira-kira 25 peratus daripada kontrak bernilai RM9 bilion yang dibidanya.

Pengerusinya, Datuk Azizul Rahman, berkata daripada bidaan berkenaan, RM5 bilion adalah bagi projek di luar negara, manakala bakinya di dalam negara.

Beliau berkata, sebahagian projek itu ialah bagi kerja fabrikasi struktur kompleks khusus untuk operasi cari gali minyak laut dalam yang kini adalah keutamaan kebanyakan syarikat minyak dunia.

“Justeru, kami sedang menaik taraf infrastruktur di lapangan fabrikasi kami seluas lebih 48 hektar di Teluk Rumania bagi membolehkan ia menampung lebih banyak kerja,” katanya sambil menambah Ramunia Holdings memperuntukkan perbelanjaan modal RM200 juta tahun ini dan tahun depan, berbanding RM30 juta tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Ramunia Holdings di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pemangku Pengarah Urusan Ramunia Holdings, Dr Daniel Ahn Chung-Sung.

Ramunia Holdings kini mempunyai kontrak bernilai RM1.4 bilion.

Mengenai pelupusan kepentingan Ramunia Energy and Marine Corp Sdn Bhd (Remco) dalam Ramunia Holdings, Azizul berkata, lembaga pengarah syarikat itu belum menerima sebarang notis daripada Remco.

Remco menguasai 54.3 peratus kepentingan dalam Ramunia Holdings setakat akhir Februari.

Azizul yang juga pemegang saham terbesar Remco berkata, Remco menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak yang menyatakan minat dalam Ramunia Hol-dings.

“Tetapi kami belum membuat sebarang keputusan,” katanya sambil menambah rundingan dengan Sime Darby Bhd bagi tujuan itu sudah dibatalkan sepenuhnya.

Mengenai laporan yang menyatakan Ramunia Holdings bercadang menyenaraikan sahamnya di bursa luar negara, beliau berkata, ia hanya spekulasi.

Sementara itu, Ahn yang baru memangku jawatan pengarah urusan Ramunia Holdings berkata, antara misi beliau ialah untuk menjadikan lapangan fabrikasi syarikat itu yang ketika ini adalah terbesar di Asia Tenggara, lebih mengkhusus kepada kerja fabrikasi struktur kompleks.

“Harga minyak yang tinggi membolehkan syarikat meneroka minyak di laut dalam, berbanding di perairan cetek sebelum ini.

“Justeru, permintaan bagi fabrikasi yang lebih kompleks meningkat,” kata Ahn yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan fabrikasi terbesar dunia milik Hyundai di Korea selama 15 tahun.

Ramunia Holdings mencatat keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM5.020 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2007 berbanding RM1.178 juta suku sama tahun sebelumnya.

more info | <<back