News Coverage

Ramunia bida projek RM3.3. bilion
Utusan Malaysia
27 April 2007

KUALA LUMPUR 26 April – Ramunia Holdings Bhd. (Ramunia) sedang membida projek penyediaan perkhidmatan fabrikasi pelantar bagi industri minyak dan gas bernilai kira-kira RM3.3. billion.

Pengarah Urusannya, Arshad Ahmad berkata, 15 peratus daripada jumlah itu adalah projek di luar negara iaitu di India, Arab Saudi dan Qatar.

Katanya, syarikat itu setakat ini memiliki kontrak berjumlah lebih RM600 juta yang dijangka bertahan sehingga bulan September tahun depan.

Lebih separuh iaitu kira-kira RM330 juta daripada kontrak berkenaan akan diambil kira dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Oktober ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Ramunia di sini hari ini.

Arshad berkata, Ramunia juga akan membangunkan kilang yang menyediakan kemudahan menggulung besi turbular untuk perkhidmatan fabrikasi pelantar minyak pesisir laut di Teluk Ramunia, Johor dengan modal permulaan sebanyak RM37 juta.

Katanya, projek itu akan diusahakan secara bersama dengan syarikat dari Korea Selatan, Sam Kang Ind. Co. Ltd., bagi membolehkan perkhidmatannya digunakan bukan sahaja oleh Ramunia tetapi juga oleh syarikat pesaingnya di rantau ini.

Menurut beliau, kilang yang akan dibangunkan dalam kawasan seluas empat hektar di limbungannya di Teluk Ramunia itu akan memiliki kapasiti sehingga 30,000 tan setahun.

“Kami telah menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat itu dan kilang tersebut dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyatakan bahawa pegangan ekuiti kedua-dua buah syarikat untuk projek pengeluaran berkenaan masih di peringkat perbincangan.

more info | <<back