![]() |
|||||||||||||
| News Coverage Ramunia bida projek RM3 bilion Tiga projek lura negara utama yang sedang dibidanya ialah India, Arab Saudi dan Qatar. Pengarah Urusannya, Arshad Ahmad, berkata nilai kontrak syarikat ketika ini berjumlah lebih RM600 juta dan dijangka bertahan sehingga September tahun depan. “Kontrak dalam tangan yang bernilai kira-kira RM330 juta akan dikira masuk dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Oktober 2006, dan kita menjangkakan beberapa pemberian projek lagi akan meningkatkan jumlah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur semalam. Arshad berkata, prospek sektor minyak dan gas kini sangat menyakinkan. Menurutnya, berikutan harga minyak yang tinggi, banyak projek yang tidak berdaya maju sebelum ini mula bergerak dan orang ramai berlumba-lumba membangunkan projek mereka. Beliau berkata, Ramunia juga memodenkan limbungannya di Johor bagi menampung struktur lebih besar kerana projek yang akan dijalankan kelak bukan hanya membabitkan projek air cetek dan projek laut dalam. Katanya, ada enam pembina berlesen bagi pelantar luar pantai di negara ini dan Ramunia adalah antara tiga yang utama. “Cabaran utama ialah kekurangan kakitangan cekap dalam industri yang memerlukan pekerja mahir,” katanya. Mengenai usaha sama antara Ramunia dengan Sam Kang Indutries Co Ltd dari Korea Selatan, Arshad berkata, pelaburan awal bagi cadangan perkhidmatan tiub penggelek (tubular rolling) bernilai kira-kira AS$10 juta tetapi pegangan ekuiti belum ditentukan lagi. Sam Kang dijangka menyediakan mesin dan kepakaran manakala Ramunia akan
menyediakan kakitangan dan tanah di limbungannya di Teluk Ramunia, Johor.
- Bernama
|