![]() |
|||||||||||||
| News Coverage
Ramunia yang disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia akhir bulan lalu menerusi pengambilalihan status penyenaraian Sabah Shipyard Bhd, kini giat mengembangkan operasinya dengan menerokai peluang pelaburan di pasaran serantau. Syarikat yang berpangkalan di Teluk Ramunia, Johor itu turut membida pelbagai projek dalam dan luar negara bernilai kira-kira RM1 billion. Ia menjangka memperoleh kontrak luar negara yang pertamanya bernilai lebih RM100 juta antara April dan September ini. Penerokaan ke pasaran luar negara itu sebahagian usaha Ramunia memanfaatkan potensi industri minyak dan gas yang berkembang pesat berikutan peningkatan permintaan minyak mentah di pasaran dunia, sekali gus mendorong kepada syarikat carigali meningkatkan pengeluaran. Bagi Ramunia, senario itu peluang yang perlu direbut sebaik mungkin. Beroperasi di kawasan seluas 36 hektar di Teluk Ramunia, Johor, Ramunia yang mengambil alih perniagaan fabrikasi Kumpulan Promet daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd pada 2001, yakin penerokaannya ke pasaran serantau, mampu menjana pulangan lumayan kepada pendapatan syarikat. Bermula dengan kontrak pertama bernilai RM90 juta yang diperoleh daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) pada 2002, Ramunia terus mengorak langkah untuk mempelbagaikan perniagaannya dalam bidang berkaitan. Syarikat itu kini dalam proses membangunkan kilang pengeluaran kelengkapan berat di Teluk Ramunia, secara usaha sama dengan firma Eropah. Kilang pengeluaran berat bagi industri fabrikasi minyak dan gas itu dijangka memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport termasuk Asia Barat. Ia dijangka menyumbang perolehan kira-kira RM10 juta pada tahun pertama operasi. Bersandarkan kontrak yang diperolehnya, Ramunia yakin sasaran perolehan sebanyak RM193 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober ini mampu dicapai. Jumlah perolehan itu diunjur meningkat 24.5 peratus daripda RM155 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu. Di samping itu, syarikat turut merancang mengembangkan operasinya perkhidmatan sokongan marin. Ia menjangka membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi membeli kapal untuk menyokong perkhidmatan yang disediakannya.
|