News Coverage


Ramunia mahu teroka peluang luar Negara
Berita Harian
24 December 2004

RAMUNIA Holdings Bhd (Ramunia) yang berbabit dengan kegiatan fabrikasi industri minyak dan gas, mahu meneroka peluang di luar negara dalam usaha menjadi peneraju serantau sektor itu menjelang 2010.

Syarikat yang berpangkalan di Teluk Ramunia Johor dan menuju penyenaraian di Papan Kedua Bursa Malaysia akhir bulan ini sudah membida projek di luar Negara bagi mencari tapak dalam perniagaan yang berpotensi besar itu.

Pengarah Urusannya, Arshad Ahmad berkata syarikat sudah membida projek fabrikasi pelantar minyak di Kalimantan, Indonesia.

"Pemberian projek itu kepada pembida berjaya dijangka pada suku kedua tahun ini. Penyertaan Ramunia dalam proses bida ini satu permulaan baik kepada syarikat dalam memasuki arena antarabangsa," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ramunia yang mengambil alih perniagaan fabrikasi Kumpulan Promet daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd pada 2001, menghadapi saingan sengit termasuk gergasi minyak seperti Conoco dari Amerika Syarikat dan Total dari Perancis.

Sektor minyak dan gas kini antara perniagaan paling pantas berkembang berikutan peningkatan permintaan minyak mentah di pasaran dunia, sekali gus mendorong negara pengeluar dan syarikat carigali meningkatkan kegiatan penguluaran.

Pelbagai kegiatan dalam pencarian dan pengeluaran minyak membuka peluang luas kepada syarikat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan khusus.

Arshad yakin pengalaman dan keupayaan Ramunia mengendalikan projek bagi Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali), Shell dan ExxonMobil memberikan syarikat itu kelebihan dalam membida projek di rantau ini.

"Ia projek luar negara pertama dibida syarikat, tetapi kami tidak mahu terburu-buru mengembangkan operasi ke luar negara," katanya.

Beliau berkata, sebarang pengembangan operasi dan mencari peluang di luar negara harus dilakukan dengan teliti.

"Tumpuan kami ialah membina asas perniagaan yan gkukuh di peringkat domestic dan pada masa sama melihat peluang yang boleh diteroka di luar negara," katanya.

Ketika ini, syarikat itu beroperasi di kwasan seluas 36 hektar di Teluk Ramunia Johor, antara tiga syarikat fabrikasi terbesar negara.

Syarikat itu memperoleh projek pertamanya bernilai RM90 juta daripada Petronas Carigali pada 2002 dan kini mempunyai kontrak bernilai RM120 juta yang akan dilaksanakannya sehingga Jun ini.

Arshad yang berpengalaman 24 tahun dalam bidang fabrikasi untuk industri minyak dan gas berkata, Ramunia akan mempelbagai kegiatan bagi mengukuhkan sumber perolehan.

"Syarikat merancang melabur kira-kira RM2 juta bagi membina kilang pengeluaran peralatan dan kelengkapan berat bagi sektor minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata, kegiatan pengeluaran peralatan dan kelengkapan berat itu akan dilaksanakan secara usaha sama dengan syarikat asing yang memiliki kepakaran bidang berkenaan.

Kilang yang dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini akan dibina di kawasan seluas 1.2 hektar di Teluk Ramunia.

"Sebagai permulaan, kilang ini akan mengeluar satu atau dua produk dan kami akan melihat potensi produk berkenaan di luar negara," katanya.

Ramunia yang akan disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia akhir bulan ini mengunjurkan perolehan RM190 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober ini berbanding RM155 juta tahun lalu.

more info | <<back