News Coverage


Ramunia meterai perjanjian taja jamin
Berita Harian
24 December 2004

RAMUNIA Holdings Bhd (Ramunia) yang dijadual disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada Januari ini memeterai perjanjian taja jamin bagi tawaran awam permulaannya (IPO).

Ramunia, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam berkata, perjanjan itu dimeterai dengan K & N Kenanga Bhd (K & N Kenanga) dan AmMerchant Bank Bhd (AmMerchant).

Kumpulan kejuruteraan minyak dan gas dan rekaan berat itu akan disenaraikan menerusi penyusunan semula dan penyenaraian semula Saship Holdings Bhd (Saship).

Katanya, K & N Kenangan akan menaja jamin 39.03 juta saham yang diperuntukkan melalui tawaran persendirian kepada pelabur yang dikenal pasti pada harga 50 sen sesaham.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 9 Ogos lalu sudah memberikan kelulusan bersyarat bagi permohonan Ramunia untuk penyusunan semula dan penyenaraian semula itu.

Penyusunan semula itu akan menyaksikan Ramunia Fabricators Sdn Bhd (Ramunia Fab), yang juga satu daripada tiga syarikat fabrikasi terbesar tempatan, menjadi milik penuh Ramunia.

Ramunia juga akan memiliki Teluk Ramunia Yard di Johor, yang kini dikendalikan Ramunia Fab. Teluk Ramunia Yard pada awalnya dimiliki melalui Pengurusan Danaharta Nasional Bhd pada 2001.

Ramunia Fab, yang juga peserta kukuh dalam industri rekaan berat adalah satu daripada tujuh syarikat yang memegang Lesen Pereka Utama Petronas.

Syarikat itu kini mempunyai projek bernilai kira-kira RM100 juta yang akan dilaksanakannya sehingga suku pertama 2006.

Di samping itu, Ramunia Fab turut menender kerja bernilai lebih daripada RM1 billion daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Teluk Ramunia Yard, yang memiliki sejarah panjang dalam urusan rekabentuk, kejuruteraan dan rekaan, turut terjejas teruk oleh krisis ekonomi serantau pada 1997/98.

Apabila kumpulan Ramunia mengambil alih aset itu pada 2001, ia mula mengukuhkan semula perniagannya, termasuk kerja pecah tanah bagi medan gas Kinarut untuk Petronas Carigali Sdn Bhd.

Tahun lalu, Ramunia Fab menyiapkan landasan terpanjang medan gas, iaitu salah satu komponen penting dalam struktur minyak dan gas luar pantai pernah dibina di Malaysia.

Sejak tugas di Kinarut, Ramunia Fab sudah berjaya mengembangkan asas pelanggannya termasuk semua syarikat minyak utama seperti ExxonMobil dan Shell.

Bernama.

more info | <<back