News Coverage


Ramunia mampu jadi pemain utama - bekas Presiden Hyundai
Utusan Malaysia
17 September 2005

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Bekas Presiden Hyundai Heavy Industries Co. Ltd. (HHI), Dr. C.S Ahn beriltizam menjadikan Ramunia Holdings Bhd. (Ramunia) sebagai peneraju utama fabrikasi industri minyak dan gas di Asia Tenggara dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun lagi.
Beliau yang merupakan Pengarah Eksekutif baru syarikat itu berkata, perkara itu mampu menjadi kenyataan dengan menumpukan kepada usaha mendapatkan projek luar negara yang banyak terdapat sekarang dengan kenaikan harga minyak dunia.
Bagi tempoh sederhana, saya menyasarkan usaha mendapatkan kontrak secara berperingkat bermula dengan AS$100 juta (RM376.9 juta) untuk tahun pertama saya berada di Ramunia diikuti AS$150 juta (RM565.3 juta) bagi tahun kedua dan AS$250 juta (RM942.3 juta) untuk tahun ketiga.
Kami mampu menjadi fabrikasi (dalam industri minyak dan gas) terbesar di Asia Tenggara kerana kini limbungan (yard) kami (di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor) seluas 76 hektar tidak digunakan sepenuhnya,'' kata anak kelahiran Korea Selatan itu di sini.
Ahn, seorang warga negara Amerika Syarikat, yang memiliki mempunyai kelulusan doktor falsafah (Ph.D) di dalam bidang kejuruteraan laut Massachusetts Institute of Technology (MIT), AS.
Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Ramunia yang baru berkuat kuasa 1 Ogos lalu, secara kontrak selama tiga tahun.
Ahn juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Ramunia International Holdings Ltd. (Labuan) yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan kontrak luar negara.
Beliau adalah pengasas bersama Jabatan Kejuruteraan dan Pesisir HHI yang pernah menghasilkan sebuah buku menjadi bacaan wajib pekerja HHI dalam bahasa Korea bertajuk Lari seberapa jauh yang anda boleh lihat.'
Ditanya bagaimana Ahn akan menyakinkan pelanggan antarabangsa dengan menerajui sebuah syarikat kecil, katanya, antara kelebihan yang boleh digunakan ialah banyak peserta industri yang beliau kenali ketika bersama HHI.
Saya tahu di mana saya boleh dapat orang ini (pelanggan) dan itulah kekuatan saya dan saya tidak mudah menyerah kalah,'' jelasnya.
Beliau mengakui adalah lebih sukar untuk meyakinkan pelanggan dengan menerajui syarikat kecil berbanding HHI tetapi ia juga menjadi cabaran untuk menaikkan nama Ramunia.
Ditanya mengapa beliau memilih Ramunia sedangkan banyak tawaran yang diterima selepas bersara dari HHI, Ahn berkata, selain cabaran, faktor sentimental memainkan peranan ketika beliau membuat keputusan untuk datang ke Malaysia.
Selain Ramunia, saya menerima tawaran daripada beberapa syarikat dari Korea Selatan, China dan India tetapi Ramunia dipilih kerana Malaysia merupakan destinasi projek pesisir HHI yang pertama
Oleh kerana, saya telah bermula dengan Malaysia maka saya mahu mengulanginya (dengan memilih Ramunia).

more info | <<back