News Coverage


Ramunia tinjau lebih banyak peluang luar negara
Utusan Malaysia
12 February 2005

KUALA LUMPUR 11 Feb - Ramunia Holdings Bhd (Ramunia) mahu meninjau lebih banyak peluang di luar negara dalam usaha untuk menjadi peneraju dalam sektor fabrikasi pelantar minyak serantau menjelang tahun 2010.

Sebagai langkah pertama, Ramunia sedang mencuba nasib membida dua projek fabrikasi pelantar minyak di Indonesia melalui anak syarikatnya Ramunia Fabricators Sdn Bhd (RFSB).

Pengarah Urusannya, Arshad Ahmad berkata, syarikatnya ditawarkan untuk melaksanakan projek berkenaan oleh syarikat luar selepas melihat dan menilai prestasi Ramunia selama ini.

"Bagaimanapun, kami melihat pelawaan tersebut sebagai satu penghargaan pihak luar kepada Ramunia namun keputusan sama ada Ramunia berjaya atau sebaliknya akan hanya diketahui pada suku kedua nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ramunia milik Bumiputera sepenuhnya terlibat dalam kerja-kerja kejuruteraan dan penghasilan struktur terutamanya industri minyak dan gas, di Teluk Ramunia, Johor.

Ia juga merupakan sebuah daripada tiga buah syarikat terkemuka dalam pembinaan fabrikasi platform luar pesisir di dalam negara.

Namun, kata Arshad, Ramunia pada masa ini terus serius dalam memberi tumpuan projek-projek di Malaysia kerana masih mempunyai pegangan kontrak bernilai kira-kira RM120 juta.

Arshad yakin Ramunia masih mempunyai banyak peluang dalam projek fabrikasi pada masa depan berikutan pembekuan syarikat-syarikat baru seumpama itu.

Pasaran fabrikasi negara dianggarkan bernilai kira-kira RM500 juta setahun.

Menjelang suku kedua tahun ini, Arshad berkata, syarikat turut mengjangkakan beberapa perniagaan daripada perkhidmatan marin.

Ramunia mempunyai dua buah limbungan meliputi kawasan seluas 36 hektar di Teluk Ramunia.

Satu daripadanya mempunyai kapasiti limbungan untuk 21,000 tan setahun sementara satu lagi limbungan mempunyai kapasiti 10,000 tan.

Arshad berkata, Ramunia turut mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat antarabangsa untuk membentuk jalinan usaha sama mengendalikan pemasangan struktur luar pesisir dan saluran paip.

Katanya, walaupun Ramunia diberi lesen oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan struktur luar pesisir dan saluran paip, ia masih memerlukan rakan niaga yang memiliki aset-aset tertentu seperti kapal besar (tongkang) dan pelantar untuk pengendalian kerja-kerja pembinaan.

Ditanya bagaimana Ramunia mampu bertahan dalam industri itu, Arshad berkata, syarikatnya terus kukuh sehingga hari ini kerana mempunyai sumber tenaga yang mempunyai kemahiran tinggi.

"Kelengkapan kami memang terbaik tetapi sumber tenaga Ramunia juga terhebat dan mampu mengendalikan kerja-kerja dengan baik sehingga mendapat kepercayaan dari syarikat luar," ujarnya.

more info | <<back